Cheras – Atas sambutan yang cukup menggalakkan, program realiti pencarian model Miss Pink Lady Asia (MPLA) diteruskan dalam musim kedua. Menampilkan 12 peserta dari 8 negara Asia seperti Thailand , Myanmar, India, Korea, Philipines, Singapore, Indonesia , Hong Kong dan tidak lupa sebagai tuan rumah iaitu Malaysia kesemua peserta yang terpilih ini datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza bagi bersaing untuk mendapatkan gelaran menjadi Pink Lady of Asia untuk musim ini.

Selain menampilkan peserta-peserta dari pelbagai negara, musim ini juga agak menarik kerana turut menyaksikan model yang juga pelakon baru, Haneesya Haneemenjadi salah seorang peserta rancangan realiti itu. Menurut pengarah program ini dari Icube Studio.En Mohamad Hafiz Naslallizi pemilihan Haneesya sebagai peserta bukanlah kerana ingin menaikkan rating rancangan itu sebaliknya ianya juga adalah kesudian model tersebut untuk bersaing dengan peserta lain bagi memperbaiki kemahiran dan kerjayanya sebagai seorang model professional.

 

Perkara itu turut diakui Haneesya sendiri ketika ditemui Murai.my usai daripada majlis pengenalan barisan peserta Miss Pink Lady Asia awal minggu lalu. Bagi Haneesya, biarpun sudah bergelar seorang selebriti namun dia tidak menganggap itu merupakan satu alasan mahupun kekangan untuk dia mengasah bakatnya. Malah jelas Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya binti Sayed Sahalan,19 dia memulakan kariernya sebagai seorang model malah penyertaannya dalam MPLA merupakan satu platform yang bagus untuk dia lebih menyerlah di dalam bidang ini apatah lagi bersaing dengan peserta daripada negara lain.

“Pada mulanya saya rasa agak berat untuk masuk memandangan formatnya hampir sama dengan program realiti yang saya pernah masuk sebelum ini. Mungkin ini satu cabaran diri untuk diri saya sertai semula dan memaafkan diri atas apa yang terjadi sebelum ini. Saya berharap tahun 2020 adalah yang terbaik buat saya” katanya.

Sebagai info, Pemenang MPL ASIA Musim kedua bakal membawa pulang hadiah kemenangan RM12,000 untuk tempat pertama, dan RM 8000 untuk tempat kedua. Sementara itu, pemenang tempat ke-tiga bakal membawa pulang RM5,000.Selain Haneesya, dua lagi peserta iaitu Adeline Lim dan Elysha Arnold juga akan mewakili Malaysia.

MPL ASIA musim kedua bakal disiarkan untuk 13 episod di saluran penstriman Youtube @pinklady.tv bermula 4 Januari, 2020 pada setiap hari Sabtu, jam10 malam. Untuk informasi lebih tontoni Pink Lady Extra setiap hari Rabu 9 dan semua episod akan disiarkan secara langsung di laman web www.pinklady.tv.