KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyasarkan untuk menarik 5,000 usahawan luar bandar baharu menyertai perniagaan dalam talian menjelang tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yakin langkah itu selain dapat meluaskan pasaran produk juga akan memastikan usahawan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan selari dengan Revolusi Industri 4.0.

Katanya, kementerian turut menyediakan program khas bagi menarik lebih ramai usahawan luar bandar meluaskan perniagaan mereka.

 

“Tahun depan kita sasarkan untuk wujudkan lebih ramai usahawan luar bandar hingga menjadi jutawan.

“Pada masa ini kita ada lebih 26,000 usahawan luar bandar berdaftar dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) manakala dengan kementerian semua sekali lebih 100,000 dan kita mahu lebih ramai tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kedai rasmi Desaauto@KPLB di Shopee, di sini hari ini.

Terdahulu Rina turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Elokal yang dilantik kementerian membantu usahawan luar bandar memasarkan produk dan Shopee.

Desaauto@PKLB adalah inisiatif yang akan memberi manfaat kepada lebih 200 usahawan luar bandar untuk mengilang dan mengedar produk automotif seperti tayar, bahagian gantian dan minyak enjin.

 

Ia adalah kerjasama dengan Shopee untuk mempersiapkan peniaga tempatan dengan kemahiran, ilmu dan peluang memasarkan produk mereka dalam talian.

Platform berkenaan juga dijangka mampu memberi peluang usahawan luar bandar menjangkau pelanggan berpotensi dari seluruh negara dan serantau menerusi khidmat melangkau sempadan Platform Antarabangsa Shopee.

Sebagai permulaan 100 produk akan ditawarkan di kedai rasmi dalam talian berkenaan.

 

 

Desaauto@PKLB adalah kesinambungan dari Desamall@PKLB yang diperkenalkan kementerian bertujuan mengenengahkan produk keluaran usahawan tempatan luar bandar yang turut dijual dalam talian menerusi platform Shopee.

Pelancaran Desaauto@PKLB juga adalah bersempena Shopee 12.12 Birthday Sale yang bermula hari ini sehingga 12 Disember.