Kuala Lumpur – Mendengar lagu Kembalikan di platform youtube sudah cukup meruntun perasaan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Setiap bait-bait liriknya cukup bermakna ditambah pula suara pendatang baharu Nur Adhariah Kamaruzaman yang lemak manis melengkapkan lagi keindahan lagu ini.

Mendengarkan sahaja suaranya pasti membuatkan sesiapa sahaja terpukau. Meskipun masih terlalu hijau dalam industri, gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini mempunyai karisma dan potensi untuk pergi lebih jauh dengan semangat juang yang ditunjukkan untuk menerobos industri seni selepas ini.

Keindahan lirik dan melodi yang indah hasil idea Juhana Asri dan Zamzoy serta garapan akhir oleh Sharon Paul,  memberikan nilai tambah kepada lagu Kembalikan ini.

Nur Adhariah memaklumkan selain genre balada, beliau juga boleh membawa lagu irama tradisional dan sering membuat persembahan namun teknik dan lenggok genre itu masih lagi perlu dimahirkan untuk memastikan lagu yang disampaikan sedap didengar.

Anak kedua daripada tujuh adik beradik ini mengakui terkejut tatkala diberikan tawaran yang disifatkan sebagai rezeki bergolek dari Papa Jup Production Sdn Bhd yang percaya pada potensi dirinya. Semuanya  berlaku apabila beliau sedang mengadakan persembahan caklempong bersama enam rakan-rakan yang lain dalam sebuah acara. Untuk pengetahuan, penyanyi ini juga mahir dengan muzik tradisional yang sudah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya.

Bersama rakan-rakan yang lain, dia sering mengadakan persembahan dalam majlis korporat dan resepsi perkahwinan. Malah kumpulan Caklempong Gemersik Inang  itu juga cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Seremban dan kawasan sekitar.

Percaya Kembalikan bakal membawa namanya kedalam industri, Nur Adhariah mengharapkan peminat akan memberikan sedikit ruang untuknya memperkenalkan lagu yang indah serterusnya memberikan variasi kepada industri seni tempatan.