Petaling Jaya -Yayasan Peneraju mengiktiraf penerima faedahnya yang cemerlang dalam pelbagai bidang kerjaya di bawah program-program pembiayaan Yayasan Peneraju. Anugerah disampaikan dalam satu majlis penganugerahan Star Awards bagi menghargai dan meraikan golongan pelapis yang berjaya dibawah bantuan Yayasan Peneraju.

Aisyah Othman, 41, dinobatkan sebagai pemenang CEO Award pada majlis Yayasan Peneraju STAR Awards 2019.

Anugerah istimewa itu sebagai pengiktirafan atas usaha, kecekalan dan kepayahan beliau dalam menghadapi halangan, cabaran dan stereotaip dalam menembusi pendakian kerjaya sebagai penjaga jentera elektrik dan elektronik, yang secara tradisinya didominasi golongan lelaki.

Anak kelahiran Sarawak itu kini sedang mempersiapkan diri mendapatkan pensijilan tambahan Competency Certificate in Chargeman L4 bagi melayakkan beliau mengendalikan pendedahan dalam sistem photovoltaic (PV) solar voltan rendah.

Selain beliau, tiga lagi penerima anugerah istimewa Yayasan Peneraju STAR Awards 2019 ialah Muhammad Hafiz Samsuddin (Most Outstanding Award); Harziah Khalid Yunus (Most Inspiring Award); dan Louis Jok Jau (Most Promising Award).

Muhammad Hafiz, 20, mendapat keputusan terbaik tempat pertama di dunia dan Malaysia di bawah program Certified Accounting Technician (CAT) menerusi kertas MA1-Management Information, MA2-Management Cost dan Finance, dan FA2-Maintaing Financial Records.

Selain itu, beliau juga mendapat keputusan tempat ketiga di dunia dan pertama di Malaysia menerusi kertas FM-Financial Management Jun lalu di bawah program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Sementara itu, Harziah, 28, adalah insan yang istimewa OKU penglihatan, tetapi ia tidak menghalang beliau untuk berjaya dalam kerjaya diceburi.

Manakala, Louis, 39, tidak pernah berputus asa mendapatkan kemahiran untuk membaiki taraf kehidupan.

Dalam pada itu, anak lelaki Allahyarham Seniman Jins Shamsudin, Putera Hang Nadim turut sama menerima Anugerah Peneraju Skil Mahir Aeroangkasa dan kini berkhidmat bersama Malaysia Airlines.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (dasar) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin.