Puchong – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merasmikan program Hari Integriti LKIM 2019 peringkat ibu pejabat. Tema ‘Integriti Asas Kecemerlangan Organisasi’ diangkat untuk memberikan panduan dan semangat kepada warga kerja LKIM untuk berfikir dan bekerja dengan penuh integriti.

Integriti yang tinggi akan membawa LKIM ke tahap lebih tinggi dan mulia menjadikan LKIM agensi terbaik dari sudut cetusan idea, prestasi kerja, kualiti penyampaian perkhidmatan dan persepsi umum.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata, semua warga kerja LKIM seharusnya memenuhi visi dan misi agensi itu dan tidak seharusnya dicemari dengan unsur rasuah, penyelewengan, salahlaku atau salahguna kuasa.

Katanya sekiranya ia berlaku maka tidak tercapai hasrat kerajaan dalam konteks membina imej agensi itu dan memenuhi agenda kerajaan dalam memrealisasikan Wawasan Kemakmuaran Bersama 2030.

“Prinsip asas perlu selari dengan kehendak agama yang meletakkan integriti sebagai nilai utama dalam sebuah pentadbiran.

LKIM juga turut melancarkan Pusat Aduan Integriti agensi itu yang boleh dimanfaatkan kepada 1600 kakitangannya seluruh negara dan orang awam bagi mengekang isu rasuah dan salahguna kuasa di bawah agensi berkenaan.

Muhammad Faiz turut menekan kedudukan neegara yang masih jauh ketinggalan dalam Indeks Persepsi Rasuah pada tahun 2018 apabila Malaysia berada di tangga ke 61 daripada 180 buah negara dunia.

Turut hadir dalam majlis sama Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman; Timbalan Ketua Pengara Raja Kamarul Raja Ariffin dan: Ketua Unit Integriti Wan Nor Azlina Wan Nordin.

Dalam majlis sama turut diadakan ialah penyerahan poster Aduan Integriti kepada semua ketua-ketua jabatan dan Pengarah Negeri.

Sebagai rekod LKIM pada 10 Januari 2019 turut melancarkan CAP (Cekap, Amanah, Peduli) yang bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan warga kerja LKIM.

Selain itu turut menyuburkan semula slogan slogan “Kepimpinan Melalui teladan” yang perlu kembali diterapkan dalam perlakuan dan tindak tanduk pegawai-pegawai kanan LKIM.

Manakala Unit Integriti di LKIM juga berperanan sebagai mekanisme kawalan dalaman untuk memastikan pengurusan pentadbiran di LKIM bebas daripada perlakuan rasuah, salah guna kuasa, salahlaku, penyelewengan serta usaha memperkukuhkan dan membudayakan integriti di kalangan warga LKIM.