AMPANG: Acara yang julung kalinya diadakan secara percuma disekitar Ampang, Kampung Pandan dan Pandan Jaya serta melibatkan penggiat sukan Amatur dan profesional.

Acara sukan lasak yang diberi nama “Rentap Night” ini dirasmikan oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato Hj Hamid Bin Hussain. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Mohd Aris Ismail dan Fairul Ezly selaku Pengarah Kejohanan.

Rentap Night ini  mempertandingkan sebanyak 8 regu profesional dan 2 regu pilihan bagi merebut gelaran juara yang akan dijalankan mengikut sistem kalah mati. Selain itu setiap perlawanan dijalankan sebanyak lima pusingan dan setiap pusingan berlangsung selama tiga minit. 

Pengarah Teknikal Rentap Night, Fairul Ezly Ramli berkata, program tahun ini merupakan penganjuran kali kedua dan berhasrat untuk pergi lebih jauh bagi tahun hadapan dan amat berpuas hati sekiranya acara ini dapat diketengahkan dengan penglibatan pelbagai pihak mahupun penaja.

Dalam pada itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato Hj Hamid Bin Hussain berkata, beliau melihat sukan muay thai ini sebagai satu anjakan kearah memastikan ianya dijadikan sebagai sukan teras untuk acara sukan dan kejohonan terbesar di negara ini. Beliau juga menyatakan hasrat untuk memastikan acara sebegini mendapat sokongan yang luas.

Program Rentap Night ini menyaksikan penyertaan golongan belia lingkungan 18 tahun keatas yang mewakili Kelab Muay-Thai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pelbagai piala termasuk piala Timbalan Perdana Menteri dipertaruhkan pada malam perlawanan.