Kuala Lumpur –Sunway Malls meraikan Tahun Baharu Lunar dengan menampilkan unsur tradisional yang melambangkan kekayaan, kelimpahan rezeki, kebahagiaan dan tuah.

Setiap pusat beli-belahnya akan menampilkan aspek sambutan Tahun Baharu Cina yang berlainan, membariskan pelbagai elemen tradisional seperti emas (melambangkan Kekayaan), beras (melambangkan Kelimpahan Rezeki), labu botol atau húlu (melambangkan Tuah) dan bebola beras pulut atau tang yuan (melambangkan Kebahagiaan).

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Theme Parks HC Chan berkata Sunway Malls teruja untuk meraikan Tahun Baharu Cina 2020 yang bakal membuka tirai dekad yang makmur dan harmoni untuk semua.

“Tahun ini, kami meraikan elemen-elemen tradisional tersendiri yang dekat di hati seperti simbol tuah, kekayaan, kebahagiaan, dan kemakmuran sempena tahun baharu ini.

“Tradisi ini melambangkan kemurnian dan limpahan keberkatan yang ingin dikongsikan oleh kami semua di Sunway Malls buat komuniti kami sama ada yang dekat mahupun jauh, dan berhimpun bersama dengan semangat perayaan tahun baharu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran acara itu di sini hari ini.

Bagi menandakan pelancaran rasminya, wakil-wakil berkenaan telah menarik sehelai kain merah khas untuk merungkaikan plat nama setiap satu pusat beli-belah Sunway, disusuli dengan penurunan belon emas berserta persembahan dram Cina tradisional.

Pelancaran tersebut diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang melambangkan unsur-unsur tradisional yang unik seperti kaligrafi Cina.

Pelancaran sambutan Tahun Baharu Cina itu dirasmikan oleh Chan, Kevin Tan, Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls; KS Wong, Pengurus Besar Kanan Sunway Malls; Eric Tee, Pengurus Besar Pemajakan, Sunway Pyramid; Phang Sau Lian, Pengurus Besar Sunway Velocity Mall; Danny Lee, Pengurus Besar Sunway Putra Mall; Chai Wen Yew, Pengurus Besar Sunway Carnival Mall; Albert Cheok, Pembantu Pengurus Besar Sunway Giza Mall; dan Allan Tay, Pembantu Pengurus Besar Sunway Citrine Hub serta Sunway Big Box Retail Park. 

Pusat beli-belah yang mengambil bahagian ialah Sunway Pyramid di Sunway City; Sunway Velocity Mall dan Sunway Putra Mall, kedua-duanya di Kuala Lumpur; Sunway Carnival Mall (Pulau Pinang); Sunway Citrine, Sunway Iskandar, Sunway Big Box Retail Park (Johor); dan Sunway Giza Mall di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.