PETALING JAYA – Sebanyak 320,000 daripada 380,000 permohonan program e-Tunai Rakyat diluluskan hingga jam 10 malam tadi dengan lebih RM10 juta dibelanjakan pengguna pada hari pertama pelaksanaannya melalui tiga pengendali e-dompet di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata melalui inisiatif ini, pihaknya juga menyasarkan kira-kira RM1 bilion dengan RM500 juta disumbangkan kerajaan, manakala jumlah selebihnya daripada syarikat pengendali akan disebarkan dalam ekonomi negara khususnya bagi merangsang penggunaan tempatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga tidak akan mengehadkan permohonan, sekali gus bersedia menambah peruntukan bagi program itu jika ada lebih ramai lagi individu berkelayakan memohon iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan kurang RM100,000 setahun.

“Ia menggalakkan lebih ramai mendaftar program ini untuk meluaskan pembayaran digital bagi menuju masyarakat tanpa tunai. Hari pertama reaksinya sangat menggalakkan hingga menyebabkan ada syarikat pengendali tergendala, namun difahamkan masalah ini sudah selesai.

“Justeru, jika ada lebih (permohonan), kena kajilah…kita tak boleh hentikan dan halang. Kita menjangka 15 juta (pemohon), namun tiba-tiba ada 16 juta, jadi kita tak boleh hentikan.

“Jika reaksi lebih baik dengan tambahan lagi sejuta (pemohon) bersamaan dengan RM30 juta (peruntukan) kita boleh tanggung dan ada wang untuk tambah…tiada had dan tiada sempadan (bagi mereka yang layak), ” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke Medan Pasar SS2, di sini, hari ini.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Inisiatif ini diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, inisiatif masyarakat tanpa tunai ini langkah penting dalam usaha kerajaan menuju ke arah transparensi dan integriti seperti dimahukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ia akan dijalankan secara berperingkat.

“Jika kita melaksanakan inisiatif tanpa tunai secara sepenuhnya, ia akan mengurangkan banyak penyelewengan, namun kita akan melaksanakannya secara berperingkat kerana ada kawasan di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak masih tidak biasa dengan kaedah ini.

“Justeru, kita tidak menetapkan garis masa, sebaliknya mahu melihat maklum balas dulu berdasarkan program ini, ” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mempertimbang untuk melaksanakan kajian kesan sosial inisiatif ini terhadap ekonomi negara selepas memperoleh data lengkap apabila berakhirnya tarikh luput perbelanjaan program ini pada 14 Mac kelak.

Mengenai dakwaan maklumat pemohon program e-Tunai Rakyat ini akan disalurkan kerajaan kepada   ketiga, Guan Eng bagaimanapun berkata, pihaknya amat tegas terhadap perkara ini dan tidak akan berkongsi maklumat peribadi mereka kepada syarikat luar.

“Ada orang bimbang ada pihak akan mengambil maklumat mereka…kita tidak akan berbuat begitu kerana kita ada kawalan keselamatan dengan maklumat pengguna hanya dikongsi kepada kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad yang bertindak selaku pelaksana program, ” katanya.