Petaling Jaya – Peruncit barangan sukan nombor satu di Malaysia, Al-Ikhsan Sports mengumumkan kerjasama baharu dengan syarikat kasut prestasi dan gaya hidup antarabangsa, Skechers bagi pelancaran koleksi kasut eksklusif di bawah dua jenama terbabit.

Dengan kerjasama itu, sebanyak 28 kasut pelbagai gaya dan warna akan dilancarkan secara berperingkat yang menjanjikan harga RM199 dan ke bawah.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla berkata, sebagai permulaan, sembilan kasut dilancarkan pada bulan ini membabitkan dua kasut lelaki dan tujuh kasut perempuan.

“Sebagai peruncit nombor satu di Malaysia dengan lebih 15 juta peminat sukan, sudah menjadi tanggungjawab syarikat menjadikan barangan sukan mampu milik kepada semua.

“Kerjasama ini bukan saja menyokong objektif terbabit malah secara tidak langsung mendorong pertumbuhan perniagaan lebih baik buat kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media pelancaran kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Al-Ikhsan pada tahun lalu merekodkan lebih 30,000 pasang kasut Skechers terjual sekali gus mencatatkan peningkatan kira-kira 367 peratus bagi jualan jenama berkenaan di cawangannya.

“Inisiatif untuk membawa masuk koleksi eksklusif dibawah harga RM199 adalah selari dengan hasrat kami menerusi kerjasama dengan jenama global utama untuk menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan,” katanya.

Pada majlis itu, aL-ikhsaN dan Skechers memperkenalkan koleksi Januari yang menawarkan dua variasi kasut sukan untuk lelaki dan wanita dengan tujuh variasi untuk wanita pada harga RM199 ke bawah.

 

Naib Presiden Skechers Asia Tenggara, Zann Lee yang turut hadir pada pelancaran itu berkata, pihaknya menjangka memperkenalkan rangkaian kasut “kembali ke sekolah” pada November tahun ini.

“Kasut ini dibawa secara eksklusif untuk Al-Ikhsan Sports, berwarna hitam, khusus untuk kanak-kanak. Ketika ini, kita hanya membawa masuk kasut kanak-kanak pada musim perayaan dan buat pertama kalinya untuk rangkaian ‘kembali ke sekolah’, pada akhir tahun nanti,” katanya.