Kuala Lumpur – Aplikasi penghantaran makanan secara dalam talian di negara ini dilihat semakin berkembang, bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Sebut sahaja beberapa nama, kesemuanya bersaing dalam platform masing-masing dan semakin mendapat perhatian ramai. Namun, kebanyakkan aplikasi yang berada di Malaysia ketika ini adalah berasal dari negara luar. 

Dengan itu, Go Eat dibangunkan dari hasil usaha anak tempatan sebagai platform yang mampu membuka peluang menjana pendapatan seluruh negara.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman berkata kelainan aplikasi itu ialah menawarkan makanan masak dari rumah namun perlu memenuhi syarat ditetapkan.

“Suri rumah dan ibu tunggal yang sukar meninggalkan anak kecil untuk bekerja di luar rumah digalakkan menjadi vendor,”

 

Menurutnya, idea untuk menubuhkan Go Eat muncul ketika lawatannya ke Melbourne, Australia baru-baru ini.

“Di sana, saya lihat aplikasi penghantaran makanan ini cukup banyak dan mereka sangat berdisiplin. Bermula dari situ, saya mula study macam mana food delivery berfungsi.

“Kita mula membangunkan Go Eat. Kita ambil developer, tim pengurusan dan kewangan, semua saya susun struktur syarikat ini, saya mahukan 100 peratus anak Malaysia,” jelasnya dalam majlis pelancaran malam tadi.

Pengasas bersama yang juga selebriti Fikry Ibrahim, menjelaskan aplikasi ini juga menyediakan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor logistik, makanan dan minuman serta perniagaan dari rumah iaitu ‘home cook’ bukan sahaja dalam bandar malah mampu menfokuskan kawasan luar bandar.

“Saya melihat aplikasi ini bukan sahaja sebagai servis penghantaran makanan, malah mampu memberi ruang kepada ibu-ibu tunggal, suri rumah dan kepada sesiapa sahaja diluar bandar menjana pendapatan serta meluaskan perniagaan di serata lokasi” katanya.

 

Go Eat beroperasi sepenuhnya pada 19 Januari di Putrajaya, Cyberjaya dan Bangi buat permulaan sebelum meluaskan operasi di seluruh negara dan ke negara jiran. Aplikasi Go Eat sudah boleh dimuat turun di Android Playstore atau IOS Appstore mulai 18 Januari.