Subang Jaya – Canon hari ini memlancarkan EOS-1D X Mark III, yang dihasilkan untuk memenuhi permintaan dan keperluan golongan profesional yang memerlukan hasil terbaik dari alatan mereka.

Dengan pengesan CMOS bingkai penuh 20.1 megapiksel 35mm yang berkuasa dan pemproses imej DIGIC X baharu, EOS-1D X Mark III memberikan kualiti imej yang cemerlang dalam pelbagai situasi rakaman.

Dengan kebolehan untuk merakam imej resolusi tinggi pada kadar 20 bingkai sesaat (fps) dan video definisi tinggi sehingga 4K 60P dengan teknologi Auto Fokus (AF) CMOS Piksel Dual unik dari Canon, EOS-1D X Mark III adalah kamera berkuasa tinggi untuk mana-mana pencipta imej profesional.

 

 

“Kami amat teruja untuk memperkenalkan EOS-1D X Mark III sebagai DSLR Terunggul di Malaysia. Model pengubah persaingan yang unik ini adalah kamera bingkai penuh pertama Canon yang menampilkan video 4K tanpa potongan dan bukan sahaja untuk golongan profesional yang berpengalaman tetapi juga untuk peminat fotografi yang berkemahiran tinggi”

“Kami yakin akan dapat memecah halangan dengan model ini dari segi prestasi teknikal, tahap versatil dan kebolehgunaannya yang didatangkan dengan pelbagai ciri baharu,” kata Albert Mah, Ketua Jabatan Produk Komunikasi Pengimejan, Canon Marketing Malaysia.

 

Dengan mengurangkan gangguan dalam pengesan CMOS dan meningkatkan pengurangan gangguan dengan DIGIC X, had atas bagi kelajuan ISO normal telah ditingkatkan dari satu hentian ke 102,400. Kualiti imej dalam julat ISO 6400-12800, yang sering digunakan oleh jurugambar sukan dan berita juga dipertingkatkan dengan kawalan gangguan yang lebih baik. Pemproses khusus DIGIC 8 juga digunakan untuk pengurusan AF dan pengawalan pengesan meter RGB+IR 400,000 piksel.

Satu lagi ciri baharu dalam EOS-1D X Mark III adalah HDR PQ HEIF, sebuah standard rakaman 10-bit (untuk imej pegun) yang berbeza daripada standard definisi tinggi biasa, di mana ia menggunakan pendekatan resolusi tinggi dan rendah gangguan. Standard baharu ini bertujuan untuk menghasilkan imej yang hampir sama dengan apa yang dilihat dalam realiti berbanding kaedah penerapan imej biasa, menjadikan imej kelihatan lebih jelas dalam perinciannya.

Fail HEIF boleh ditukar ke format JPEG (kualiti HDR PQ) dengan mudah, sama ada di dalam kamera itu sendiri atau melalui peranti lain menggunakan Digital Photo Professional. Imej HEIF mempunyai “rupa” yang hampir sama dengan imej yang diambil dengan HDR PQ, dan agak berbeza daripada gambar yang diambil dan disimpan terus sebagai fail JPEG biasa. Ciri ini membuang keperluan untuk proses perapian penghasilan RAW dan pelarasan gamma, yang perlu dilakukan sebelum ini untuk gambar yang mengandungi kontras tinggi atau tona yang lebih cerah di bahagian yang berwarna neutral.

 

EOS-1D X Mark III juga menampilkan tetapan “Clarity” (Kejelasan) sebagai salah satu pilihan pelarasan imej. Tetapan ini khas untuk pengguna yang ingin mengekalkan penampilan lembut pada kulit subjek, atau apabila mereka inginkan kejelasan yang lebih tinggi untuk menyerlahkan kualiti seperti kekerasan besi atau perincian dalam pemandangan panorama.

 

Antara ciri-ciri EOS-1D X Mark III adalah:

  • Pengesan CMOS bingkai penuh 20.1 megapiksel 35mm baharu
  • Kelajuan rakaman sehingga 16 fps (rakaman pemidang tilik) dan sehingga 20 fps (Pandangan Langsung) dengan jejakan AF/AE
  • Pemproses imej DIGIC X dengan media CFexpress (dual slot), yang membolehkan kadar letus kira-kira 1000 rakaman (RAW + JPEG)
  • Pengesan AF baharu yang digabungkan dengan AI Servo AF IV[1] yang memberikan peningkatan tinggi dari segi kelajuan AF dan prestasi jejakan
  • Rakaman filem 4K UHD dan 4K DCI pada 60p/50p, dan menyokong rakaman Canon Log 4:2:2 10-bit dalam-kamera
  • Rakaman filem RAW 5.5K dalam-kamera dengan fail MP4 serentak
  • Bluetooth, GPS dan Wi-Fi dalaman dengan FTP. Menyokong LAN tanpa wayar 5Ghz dan boleh disesuaikan dengan MIMO 2×2 apabila digunakan bersama WFT-E9.