KUALA LUMPUR – AirAsia membatalkan semua penerbangannya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China sehingga 28 Januari ini berikutan penyebaran wabak coronavirus yang melanda wilayah berkenaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu menjelaskan, langkah diambil selaras nasihat dan peraturan pihak berkuasa kesihatan tempatan dan global, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Penumpang AirAsia yang kini berada di Wuhan perlu mematuhi pengumuman kerajaan China dan perlu berhubung dengan kedutaan masing-masing di negara terbabit untuk sebarang bantuan.

“AirAsia memantau teliti situasi ini dan akan terus memberi maklumat mengenai perkembangan (penerbangan) terkini,” katanya.

Bagi pelanggan yang mahu membuat pertukaran perjalanan, katanya mereka dibenar memilih menukar mana-mana laluan dari China ke Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket tanpa sebarang kos tambahan bergantung kepada kekosongan tempat duduk.

Penumpang juga katanya, boleh mengekalkan harga tiket dalam akaun AirAsia BIG Loyalty untuk perjalanan akan datang dan boleh ditukar untuk tempahan dalam tempoh 90 hari.

Selain itu katanya, pelanggan turut dibenar mendapatkan pulangan bayaran penuh sekiranya enggan dengan pilihan itu.

“Pilihan ini tertakluk untuk penerbangan sehingga 15 Februari 2020 dan penerbangan balik dari 16 hingga 29 Februari 2020. Permohonan balik boleh dibuat menerusi AVA di support.airasia.com,” katanya.