Shopee menawarkan topeng muka pembedahan tiga lapis berisi 50 keping bawah harga runcit yang dikawal iaitu RM100.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, topeng muka berkenaan dijual pada harga antara RM60 hingga RM85 sekotak.

Katanya, bekalan topeng muka itu diperoleh hasil kerjasama pihaknya dengan syarikat dari China untuk meneruskan semula pengeluaran topeng muka yang semakin meningkat.

“Kami mempunyai penjual topeng muka tempatan dan rentas sempadan yang mampu menawarkan kuantiti lebih banyak dan pada harga lebih baik kepada pengguna akhir,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu kempen beli-belah dari rumah akan dilaksanakan bermula 27 Mac hingga 4 April 2020.

“Pengguna boleh melakukan pembelian bagi keperluan mereka di satu tempat pada harga yang berpatutan.

“Dalam tempoh ini tawaran bermula daripada RM0.44 dan diskaun hingga 80 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kemungkinan terdapat sedikit kelewatan dalam penghantaran susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Beliau menambah, pihak Shopee bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk meminimakan sebarang kesulitan ketika berbelanja di Shopee pada ketika ini.

Menurutnya, antara item paling laris dalam talian ketika ini ialah produk kebersihan seperti diseinfektan, sanitizer dan topeng muka.

“Dengan syarikat-syarikat China kembali meneruskan perniagaan dan peningkatan bekalan topeng muka pada platform ini, kami melihat harga topeng muka telah menurun.

“Berikutan itu, kami mempunyai penjual di platform kami yang menawarkan sekotak topeng muka pembedahan tiga lapis (berisi 50 keping) pada harga antara RM60 dan RM85, di bawah harga siling runcit yang dikawal selia iaitu RM100,” katanya.