KUALA LUMPUR – Koperasi di seluruh negara ditawarkan moratorium bayaran balik pinjaman melalui Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Penangguhan bayaran balik itu ditawarkan untuk tempoh enam bulan, mulai April hingga September depan, dengan anggaran keseluruhan kos peruntukan sebanyak RM99 juta.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan pihaknya prihatin dengan impak penularan wabak COVID-19 terhadap aktiviti perniagaan 14,628 perusahaan koperasi di Malaysia.

“Aktiviti koperasi yang terjejas ini turut memberikan kesan kepada kebajikan 6.05 juta anggota koperasi di seluruh Malaysia.

“Memandangkan arahan terkini kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini, banyak koperasi menerima kesan secara langsung akibat pemberhentian operasi perniagaan.

“Dalam usaha meringankan beban dan membantu koperasi terbabit, kementerian mengambil langkah proaktif mengumumkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman oleh koperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memperincikan mekanisme tawaran moratorium berkenaan, Wan Junaidi berkata, koperasi boleh mengemukakan permohonan secara terus kepada SKM menerusi e-mel: rozdeen@skm.gov.my atau menghubungi talian 012-3302444.