KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, disahkan negatif COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berdua berkenan menjalani proses saringan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tujuh kakitangan Istana Negara dijangkiti COVID-19.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kini menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam.

“Tujuh kakitangan terbabit sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak Selasa dan semua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, KKM sedang mengenal pasti punca jangkitan semua kakitangan terbabit.

Beliau berkata, semua langkah yang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sudah dilaksanakan untuk mengenal pasti semua kontak rapat kakitangan terbabit termasuk mengarahkan mereka menjalani saringan COVID-19.

“Untuk memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, semua kontak rapat kakitangan tersebut diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, bermula semalam,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik COVID-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini.

“Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” katanya.