SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa untuk bulan April bagi semua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pengurusan pentadbiran negeri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

EXCO Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha, berkata kerajaan negeri juga akan melakukan penangguhan bayaran sewa selama dua bulan bagi bulan Mei dan Jun membabitkan kos sebanyak RM1.124 juta.

“Berdasarkan aduan yang kita terima sebelum ini, kita mendapati ada di antara penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa faktor susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Justeru, atas keprihatinan terhadap masalah rakyat, kerajaan Selangor memutuskan untuk melaksanakan dua inisiatif berkenaan kepada penghuni PPR di negeri ini.

“Kita akan memberi pengecualian sewa untuk bulan ini (April) serta penangguhan bayaran sewa untuk dua bulan akan datang (Mei dan Jun),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

PPR yang terbabit adalah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi yang terdiri daripada keluarga golongan B40.

Selain itu, Haniza berkata, kerajaan Selangor berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung oleh semua penyewa terbabit.

“Kerajaan negeri juga menyeru supaya semua rakyat mematuhi arahan PKP dan seterusnya kehidupan kita dapat kembali seperti sediakala selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan di peringkat Persekutuan membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP sehingga 14 April ini dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negara ini.

Difahamkan, pelaksanaan PKP menjejaskan kehidupan seharian rakyat termasuk 2,632 unit penyewa PPR di bawah pengurusan kerajaan Selangor.