KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran sepanjang Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 hanya akan diketahui pada bulan depan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Kadar pengangguran bagi Mac tahun ini akan diterbitkan pada 8 Mei depan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kadar pengangguran pada Januari lalu adalah 3.2 peratus dan meningkat kepada 3.3 peratus pada Februari.

“Kesan pengangguran susulan pelaksanaan PKP akibat penularan wabak COVID-19 yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac lalu dijangka dapat dilihat pada indikator tenaga buruh Mac 2020 dan keseluruhan tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Perangkaan hari ini mengeluarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia, 2019 yang membentangkan statistik tahunan berkaitan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).

Laporan itu membekalkan statistik utama tenaga buruh mengikut ciri demografi dan sosioekonomi antaranya jantina, kumpulan umur, strata bandar dan luar bandar, kumpulan etnik, pencapaian pendidikan, pekerjaan dan industri.

Mengulas laporan itu, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran negara pada tahun lalu kekal pada 3.3 peratus.

Beliau menegaskan kadar pengangguran 2019 tidak dipengaruhi oleh impak negatif disebabkan penularan COVID-19.

Sementara itu katanya, tenaga buruh Malaysia meningkat dua peratus kepada 15.6 juta orang pada tahun 2019 berbanding 15.3 juta orang pada tahun 2018 manakala jumlah penduduk yang bekerja pula meningkat kepada 297,400 orang pada tahun lalu.

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.4 mata kepada 68.7 peratus pada tahun lalu berbanding 68.3 peratus pada tahun 2018.

“Kira-kira 31.3 peratus penduduk yang berada dalam kumpulan umur bekerja, masih berada di luar lingkungan tenaga buruh negara,” katanya.

Mohd Uzir berkata, KPTB golongan wanita meningkat 0.4 mata kepada 55.6 peratus pada tahun 2019.

Katanya, penyertaan wanita dalam pasaran buruh bagi kumpulan ‘umur perdana’ iaitu 25 hingga 34 tahun adalah 73.7 peratus manakala bagi kumpulan umur 35 hingga 44 tahun (68 peratus) dan 45 hingga 54 tahun (58.9 peratus).

“KPTB bagi lelaki pula ialah 80.8 peratus pada tahun 2019, meningkat 0.4 mata peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, KPTB bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 2.2 mata peratus kepada 53.2 peratus serta kumpulan umur 25 hingga 34 tahun meningkat 0.4 mata peratus kepada 96.1 peratus.

“Secara keseluruhannya, KPTB lelaki masih lebih tinggi berbanding wanita bagi semua kumpulan umur,” katanya.

Sementara itu katanya, penduduk bekerja berpendidikan tertiari pada tahun 2019 meningkat 0.8 mata peratus kepada 29.4 peratus berbanding 28.6 peratus pada tahun sebelumnya.