Kuala Lumpur – Syarikat kesihatan dan kesejahteraan bersepadu serta peneraju dunia dalam pasaran Aromaterapi dan Minyak Esensial dunia, dōTERRA, telah berjanji akan menderma sebanyak RM40,000 sebagai sebahagian daripada sumbangan COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada golongan tidak berkemampuan dan komuniti yang terjejas di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Berganding bahu bersama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu Tenaganita, Refuge for the Refugees (RFTR), Dapur Jalanan KL dan Liga Rakyat Demokratik (LRD), dōTERRA Malaysia akan melipat-gandakan usaha dalam membantu mereka yang sangat memerlukan terutamanya keluarga berpendapatan rendah daripada golongan B40, ibu tunggal, pekerja bergaji hari, warga asing dan pelarian.

 

Dalam menggalakkan jangkauan komuniti kolektif dalam tempoh yang tidak menentu ini, syarikat tersebut telah melancarkan kempen ‘Engage in Good’, bermula daripada 21-30 April, untuk mempromosikan kepada komuniti dōTERRA dalam menyokong misi utama dengan penjualan tiga produk iaitu Magnolia Touch, Amavi Touch dan Balance Touch.

Kesemua hasil jualan daripada kempen ini dan jumlah yang digenapkan oleh dōTERRA Malaysia berdasarkan hasil jualan akan disalurkan terus kepada jangkauan komuniti COVID-19. Inisiatif terbaru ini yang dilaksanakan bersempena dengan wabak COVID-19 di negara ini merupakan sebahagian daripada program dōTERRA Malaysia, ‘Healing Hands’, di mana syarikat akan bekerja secara berkala dengan NGO tempatan dan mengepalai kempen derma untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pengurus Besar dōTERRA Malaysia, Ethan Wang, mengatakan bahawa syarikat sentiasa yakin dan percaya dengan kehebatan untuk berbakti kembali masyarakat dan telah menjadikan impak sosial yang positif ini sebagai teras utama syarikat sejak penubuhannya pada tahun 2017. “Sebagai pendokong kuat peningkatan taraf sosial, kami patuh akan ‘Healing Hands Foundation’ dōTERRA global yang memfokuskan pemberdayaan masyarakat dan menyokong organisasi-organisasi amal yang berkaitan dengan kemandirian, penjagaan kesihatan, pendidikan, sanitasi dan usaha membasmi gejala perdagangan manusia.

“Kami sering kali menggunakan pendekatan yang sama di pasaran tempatan, dan di Malaysia, jaringan kami yang luas berserta hubungan yang rapat dengan NGO tempatan seperti Tenaganita telah memudahkan kami untuk menyumbang dengan lebih efisyen kepada pelbagai program jangkauan termasuklah dengan memberi sokongan kewangan bagi pemulihan dan pemberdayaan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di KL dan Penang di samping membiayai Persatuan Autism Nasional Malaysia (NASOM) untuk mendapatkan sebuah kenderaan bagi memudahkan kerja-kerja logistik, sebagai contoh,” ujar Wang.

Ethan turut menegaskan bahawa dōTERRA Malaysia akan terus memainkan peranan mereka dalam menyumbang secara positif apabila diminta dan memuji usaha berterusan negara dalam memerangi wabak COVID-19.

“Tatkala barisan hadapan, persatuan-persatuan NGO dan pelbagai organisasi lain bersatu padu dalam membawakan kestabilan dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas dan kurang berkemampuan, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengamalkan tahap kebersihan diri dan jarak sosial selamat di samping tinggal di dalam rumah untuk meratakan lengkung penularan wabak COVID-19.

“Berpegang teguh dengan prinsip syarikat dan etos jenama, dōTERRA Malaysia akan terus mengutamakan impak sosial dan menyumbang secara positif kepada masyarakat pada bila-bila masa,” tambah beliau.