Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 bermula hari ini, membenarkan ketua keluarga yang keluar membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian membawa seorang lagi ahli keluarga bersama.

Kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Walau bagaimanapun warta persekutuan itu menyebut individu yang keluar bersama itu mestilah merupakan ahli keluarga dari kediaman yang sama.

Versi sebelum ini menyatakan bahawa individu yang ingin membeli barang keperluan di kawasan yang dijangkiti “tidak boleh diiringi oleh individu lain kecuali jika wajar untuk dia ditemani”.

Peraturan yang dikemaskini itu uga memperluas barangan yang boleh dibeli oleh orang ramai.

Peraturan sebelum ini menyatakan bahawa orang ramai hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk membeli “makanan, ubatan, vitamin atau keperluan harian.”

Walau bagaimanapun, peraturan terbaru menambah “barangan dari mana-mana pembekal perkhidmatan penting” ke dalam senarai berkenaan.

Peraturan baru yang diwartakan itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Adham Baba.

PKP fasa 3 sepatutnya berakhir semalam tetapi dilanjutkan lagi hingga 12 Mei.

Malaysia diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang dianggap kurang penting diperintahkan ditutup dan orang ramai tidak boleh meninggalkan kediaman mereka kecuali untuk alasan yang dibenarkan, seperti membeli barang runcit dalam lingkungan 10km.

Langkah itu, yang bertujuan untuk mengekang penyebaran Covid-19, yang menyebabkan sebahagian besar ekonomi negara terhenti.