Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya memperbaharui atau memansuhkan akta yang mengekang kebebasan media serta meneruskan usaha menubuhkan majlis media.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini, Suhakam menasihatkan kerajaan supaya meminda Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, tindakan tersebut wajar bagi membolehkan proses pelesenan media dan penerbitan dibuat dengan lebih bebas.

Suruhanjaya tersebut turut menggesa kerajaan menyokong penubuhan majlis media yang menyasarkan kepada penambahbaikan dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media massa.

Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) menetapkan undang-undang majlis media Malaysia bagi membentuk majlis media yang akan berfungsi sebagai badan pengatur buat industri media.

Meskipun majlis penaja sudah dibentuk, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan diteruskan oleh Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih keranaan melalui Langkah Sheraton baru-baru ini.

Suhakan turut mengambil maklum bahawa Malaysia telah menunjukkan peningkatan dalam kedudukan kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF).

Namun, jelas Suhakam, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Walaupun peningkatan ini menggalakkan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan lagi peranan akhbar dan media di Malaysia,” katanya.

Menurut ranking kebebasan akhbar RSF pada 2020, Malaysia meningkat 44 anak tangga dan berada pada kedudukan 101 daripada 180 buah negara yang dipantau.