KUALA LUMPUR – Pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau yang disiapkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata garis panduan itu disediakan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah JPM (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pelaksanaan garis panduan itu tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran daripada KKM (Kementerian Kesihatan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.

Zulkifli berkata garis panduan itu juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali keempat pada 30 April lalu yang dipengerusikan Datuk Wan Zahidi Wan Teh serta dihadiri oleh Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia dan ahli-ahli yang dilantik MKI.

“Pertimbangan utama kerajaan adalah melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal di tahap optimum semua pihak iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini menjawab soalan lazim (FAQ) mengenai aktiviti agama di masjid dan surau yang masih dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menjawab soalan sama ada wujud kebarangkalian ia dilaksanakan dalam waktu terdekat, menteri itu berkata: “Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat KKM dan MKN.”

Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak-pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata jika pelaksanaan garis panduan itu mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan, ia tetap tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa utama di negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

“Urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri yang jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA