Putrajaya – Anak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dikenakan hukuman denda sebanyak RM800 selepas didapati bersalah melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 20 April lalu.

Suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff turut dikenakan denda sama atas kesalahan itu.

Keputusan itu dibuat Majistret Shah Wirah Abdul Halim selepas Nurulhidayah dan Saiful Nizam mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Pasangan itu didakwa melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut kertas pertuduhan yang dibaca, Nurul Hidayah dan suami didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi 20 April apabila bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Oleh itu mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama.