Melalui entri terkini di Instagram (IG), ikon pop sensasi, Madonna mengaku terkena jangkitan COVID-19 ketika menghabiskan siri jelajah Konsert Madame X di Paris, kira-kira tujuh minggu lalu.

Madonna, 61, mendakwa, dia dan artis lain yang terbabit dalam siri jelajah itu jatuh sakit serta menyangka apa yang dialami adalah selesema teruk.

“Apabila ujian antibodi dibuat menunjukkan keputusan positif, itu bermakna anda mendapat virus berkenaan.

“Itu yang saya alami apabila jatuh sakit ketika hendak menghabiskan siri jelajah di Paris, lebih tujuh minggu lalu,” katanya dalam entri berkenaan.

Minggu lalu, penyanyi Like A Prayer ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa tubuhnya memiliki antibodi yang mampu melawan virus COVID-19.

Mendakwa menerima laporan daripada ujian membuktikan kewujudan antibodi dalam tubuh, Madonna mengumumkan perkara itu menerusi klip video siri Quarantine Day di IG.

Dalam entri yang dikongsi kira-kira lima jam lalu, Madonna menjelaskan dirinya sekarang sihat.

“Bagi memberi penjelasan kepada mereka yang lebih percaya kepada tajuk berita sensasi daripada membuat penyelidikan sendiri, saya sekarang tidak sakit,” katanya yang bersyukur dirinya dan artis lain dalam siri jelajah itu sudah sembuh.

Melalui catatan itu, Madonna atau nama sebenar, Madonna Louise Ciccone juga berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan individu yang menyokong usaha mencari penawar COVID-19.

Awal Mac lalu, Madonna dilaporkan menamatkan siri jelajah Konsert Madame X di Paris, tiga hari lebih awal, selepas Kerajaan Perancis melarang perhimpunan dihadiri lebih 1,000 orang bagi menyekat penularan COVID-19.