KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan dalam kalangan pemohon Gerak Malaysia akan memulakan perjalanan, mulai cuti Hari Wesak esok hingga Ahad ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata pihaknya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) selaras ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Selain itu, katanya, PLUS prihatin dan mengambil berat terhadap keselamatan serta keselesaan orang ramai ketika melakukan perjalanan di lebuh saya sepanjang tempoh Gerak Malaysia.

“Setiap pemandu dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

“Ini berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara.

“Sila rujuk lokasi SSK dan tambah nilai terdekat dengan melayari www.touchngo.com.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selaras SOP digariskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azman berkata, pengguna hanya dibenarkan keluar untuk pergi ke tandas apabila berada di hentian rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Selain itu, orang ramai perlu sentiasa mematuhi garis panduan penjarakan sosial ketika beratur bagi menggunakan tandas awam di R&R dan hentian sebelah.

“Perkhidmatan rondaan di lebuh raya, PLUSRonda juga disediakan 24 jam setiap hari untuk menjaga keselamatan dan memberi bantuan kepada pelanggan.

“Untuk mendapatkan bantuan PLUSRonda, pelanggan lebuh raya boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800880000.

“Talian bantuan ini boleh dihubungi secara terus menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik.

“Ketika perjalanan Gerak Malaysia, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelak kesesakan di lebuh raya, selain mendapatkan maklumat trafik menerusi papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi-lokasi strategik di sepanjang 1,131.4 kilometer lebuh raya PLUS.

“PLUS yakin jika SOP dipatuhi sepanjang perjalanan, pelanggan akan tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat dan sejahtera,” katanya.