Kuala Lumpur – Berhubung kenyataan yang menimbulkan kekeliruan dari Datuk Marzuki Yahya mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) ternyata tidak boleh dipakai.

Sambil mendakwa dirinya masih Setiausaha Agung BERSATU, Marzuki berkata mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Februari lalu membuat dua keputusan iaitu menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti serta calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee, Ketua Bersatu Wangsa Maju, menekankan tindakan bekas setiausaha agung parti itu juga merupakan satu tindakan yang mampu menganggu pentadbiran semasa yang ketika ini berdepan situasi sukar memerangi pandemik COVID-19. 

“Usahlah sibuk berpolitik sedangkan pentadbiran semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertungkus lumus menstabilkan negara bersama-sama barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Keyakinan rakyat mulai meningkat ketika barisan Kabinet di bawah pentadbiran Muhyiddin merangka pelbagai polisi dan dasar demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kenyataan ini dikuatkan apabila Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mohd Radzi Md Jidin turut menangkis dakwaan sambil menyatakan Marzuki bukan lagi Setiausaha Agung Bersatu, sebaliknya menjelaskan bahawa MPT Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Feb telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH. 

“Mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi Baharu.

“Jadi, apa yang dilakukan Marzuki ini seperti bermimpi di siang hari,” kata Mohammed Ridzal. 

Bersatu tidak berhasrat untuk menyertai semula PH dan parti tidak pernah berbincang mengenai langkah itu.

Dalam pada itu, Mohammed Ridzal berharap Muhyiddin bersama gabungan PN terus mengekalkan legasi pentadbiran negara yang berasaskan keprihatinan rakyat.

Pada 26 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu berkuatkuasa 18 Mac lalu, menggantikan Marzuki yang dipecat.