KUALA LUMPUR – Badan Kehakiman menguatkuasakan garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ketat apabila pendengaran di mahkamah terbuka bermula secara berperingkat, Rabu ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan garis panduan itu merangkumi 14 prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pihak berkaitan, selaras langkah pencegahan oleh kerajaan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Pihak-pihak hendaklah menyemak status kes terlebih dahulu sebelum hadir ke mahkamah dan digalakkan untuk menjalankan urusan pemfailan dokumen secara e-filing bagi mahkamah yang mempunyai perkhidmatan e-filing.

“Mereka yang hadir hendaklah memuat turun borang pelawat ke mahkamah melalui portal rasmi Badan Kehakiman bagi tujuan penjejakan sosial. Borang pelawat berkenaan juga disediakan di premis mahkamah.

“Hanya satu pintu masuk sahaja untuk memasuki premis mahkamah di seluruh negara dan hanya mereka yang mempunyai urusan sahaja dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah.

“Bagi kes jenayah, hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan untuk hadir dan memasuki premis mahkamah serta hanya seorang anak guam bagi satu pihak dibenarkan berada di bangunan mahkamah semasa pendengaran kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, pada 3 Mei lalu dilaporkan berkata pendengaran kes di mahkamah terbuka akan bermula secara berperingkat mulai Rabu ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu dan surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat kerajaan serta sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Garis panduan lain yang dikuatkuasakan Badan Kehakiman adalah seperti berikut; pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan pada setiap masa di dalam premis mahkamah namun mahkamah tidak menyediakannya kepada mereka yang hadir.

Suhu badan setiap individu yang memasuki premis mahkamah akan diambil dan hanya individu yang mempunyai suhu 38 darjah Celsius dan ke bawah yang dibenarkan masuk, jika tidak sihat dinasihatkan supaya tidak hadir.

Urusan hendaklah berlangsung di kaunter atau mahkamah yang ditetapkan tanpa berlengah, saksi atau pihak-pihak di dalam sesuatu prosiding hanya dibenarkan memasuki premis mahkamah 30 minit sebelum pendengaran sesuatu kes.

Saksi juga hendaklah berhubung dengan polis atau peguam masing-masing terlebih dahulu bagi sesuatu kes untuk memastikan kelancaran kehadiran dan urusan di premis mahkamah.

Kedudukan dan tempat di dalam mahkamah terbuka adalah terhad. Semua pihak hendaklah mematuhi garis sempadan yang telah ditetapkan di setiap tempat duduk.

Pihak-pihak hendaklah segera meninggalkan premis mahkamah setelah urusan selesai selain dipohon untuk menjaga kebersihan premis mahkamah.

Selain itu mereka yang berkaitan juga dipohon untuk mematuhi apa-apa arahan berhubung wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.