PETALING JAYA – Kawalan pihak berkuasa di Pasar Jalan Othman Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disifatkan lebih mudah mudah berbanding kawasan PKPD lain di Lembah Klang sebelum ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kerjasama yang diberikan penduduk di kawasan tersebut dalam mematuhi semua arahan sangat memuaskan.

“Di sini lebih mudah berbanding kawasan lain (di Lembah Klang) sebelum ini kerana terdapat lebih ramai penduduk tempatan berbanding warga asing.

“Arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa dipatuhi selain penduduk memberi kerjasama tinggi kepada pasukan yang membuat kawalan di sini.

“Kawasan perumahan di sini juga agak teratur jadi itu yang membuatkan kerja kita (pihak berkuasa) lebih mudah,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan itu pada Isnin.

Mengulas mengenai penugasan pihak berkuasa di kawasan itu, beliau berkata ATM amat berpuas hati dengan kerjasama semua pasukan penguat kuasa dan keselamatan yang dilihat semakin efisyen berbanding sebelum ini.

“Kita lihat persefahaman tugas antara pihak berkuasa semakin baik dan sebarang isu berbangkit dapat diatasi lebih cepat,” katanya lagi.

Beliau berharap agar masyarakat di kawasan itu terus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk berkaitan ujian saringan agar tempoh PKPD tidak dilanjutkan lebih lama.

Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya merupakan kawasan kelapan diletakkan bawah PKPD bermula 10 sehingga 23 Mei depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada 5 Mei lalu dilaporkan berkata, sebanyak 24 kes COVID-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya.

Beliau berkata, 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.