AYER KEROH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berlangsung jam 9.30 pagi tadi, kecoh susulan cadangan pertukaran Speaker oleh anggota kerajaan.

Keadaan itu tercetus apabila Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mendakwa Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar, tidak lagi layak menduduki kerusi terbabit kerana tiada mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

Susulan itu, beberapa anggota pembangkang bangun dan membidas kenyataan Idris, malah ada dalam kalangan mereka meminta bekas Ketua Menteri Melaka berkenaan dihalau keluar kerana menghina Dewan.

Keadaan semakin gamat apabila Omar memaklumkan bahawa usul anggota kerajaan untuk menukar Pengerusi persidangan, ditolak oleh Speaker.

Kekecohan hampir setengah jam itu menyebabkan Omar membuat keputusan untuk menangguhkan persidangan hingga ke satu tarikh kelak.