KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menyasarkan untuk menyempurnakan kesemua pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Fasa Kedua selewat-lewatnya menjelang hujung minggu ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bayaran Fasa Kedua telah bermula melibatkan 5.79 juta penerima dengan jumlah RM2.63 bilion.

“Daripada (keseluruhan) 8.3 juta penerima yang telah diluluskan, pencapaian pembayaran Fasa Pertama adalah pada kadar 96 peratus manakala Fasa Kedua yang sedang berjalan ini di tahap 49 peratus,” katanya semasa membentangkan Laporan Kelima Pencapaian Prihatin-Laksana hari ini.

Beliau berkata bayaran Fasa Kedua akan diteruskan pada minggu ini dan bagi penerima yang tiada akaun bank atau berstatus Gagal Kredit, penerimaan bayaran secara tunai akan boleh dibuat daripada BSN mulai 14 Mei.

“Ini dianggarkan akan melibatkan 800,000 penerima dengan peruntukan RM300 juta,” katanya.

Sementara itu, bagi perlaksanaan projek kerajaan berskala kecil, Tengku Zafrul berkata senarai projek yang telah dimuktamadkan adalah bernilai RM2.4 bilion.

Katanya pihak kementerian telah mengeluarkan pekeliling berhubung tatacara perolehan selaras dengan keperluan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Sebagai contoh, dengan keperluan penjarakan sosial, proses cabut undi tidak lagi akan diadakan dalam dewan dengan dihadiri beratus kontraktor tetapi dibuat di pejabat kerajaan dengan siaran langsung melalui media sosial.

“Agensi kerajaan yang berkenaan disarankan mengguna garis panduan baharu untuk menyegerakan proses perolehan dan pelaksanaan projek,” katanya.