KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang hari ini, mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 8,000 penjawat awam negeri daripada gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ke bawah. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,berkata pembayaran bantuan khas itu dibuat pada 19 Mei ini dan melibatkan peruntukan kira-kira RM4 juta.

“Bantuan khas ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan kesetiaan penjawat awam kepada kerajaan negeri selama ini.  

“Saya berharap bantuan khas ini dapat dimanfaatkan sewajarnya bagi meraikan hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilalui sekarang,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Wan Rosdy juga meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun Pahang turut melaksanakan pembayaran sama kepada kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan mereka.