ISKANDAR PUTERI – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, pada Khamis menghadiri pembukaan rasmi penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.

Ia sekali gus mencatat sejarah bagi DUN Johor apabila buat kali pertama ADUN yang menjawat jawatan Perdana Menteri hadir ke persidangan berkenaan.

Pembukaan penggal ketiga DUN Johor terbabit dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas susulan krisis kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum itu dan Bersatu keluar daripada PH.

Terdahulu, Muhyiddin tiba kira-kira 8.30 pagi di Bangunan Sultan Ismail dan disambut Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) lalu, selain kerusi Parlimen Pagoh, Muhyiddin yang bertanding di DUN Gambir mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk M Asojan dan calon PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini hadir di persidangan DUN Johor mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan jawatan Menteri Dalam Negeri.

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun pada 1986 hingga 1995.