Bekas personaliti televisyen Ras Adiba Radzi dilantik menjadi senator mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sumber yang dekat dengan bekas penyampai TV3 itu mengesahkan pelantikan berkenaan.

“Ya, Ras Adiba Radzi dilantik menjadi Ahli Dewan Negara. Majlis angkat sumpah untuk jawatan itu akan diadakan Isnin depan,” katanya.

Ras Adiba tidak dapat mengulas lanjut perkara itu ketika ini. Bagaimanapun, melalui semakan  di Instagram miliknya, bekas pengacara itu dilihat meluahkan perasaan syukur.

Ras Adiba yang juga presiden OKU Sentral itu turut menerima sekalung tahniah daripada pengikut dan mereka yang mengenalinya.

Pengacara NTV7 Charles Mohan antara yang tampil mengucapkan tahniah atas pengiktirafan terhadap Ras Adiba.

“Tahniah kepada kak @rasadibaradzi untuk pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara. Semoga anda dirahmati untuk membantu rakyat Malaysia. Begitu bangga dengan kamu kak,” katanya.

Pengguna akaun @Mazlinnordin pula berkata, perjuangan harus diteruskan.

“Syukur Alhamdulillah sister, tahniah, teruskan perjuangan,” katanya.