KUALA LUMPUR – Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah disebut-sebut sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu akan diumumkan hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Kita tidak boleh mengesahkan apa-apa lagi kerana perkara ini hanya boleh diumumkan menteri. Tetapi kita jangka kenyataan rasmi berkenaannya akan keluar sebelum tengah hari,” kata sumber ketika dihubungi pagi ini.

Beliau diminta mengulas mengenai poster dari laman Facebook Universiti Malaya (UM) disiarkan, malam tadi yang mengucapkan tahniah kepada Luqman yang juga pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul.

Sementara itu, Luqman yang dihubungi memaklumkan beliau berada di pejabat menteri di Putrajaya.

Sejak daripada malam tadi, laman rasmi Facebook UM dibanjiri ucapan tahniah selepas pengendali laman sosial memuat naik poster menyatakan UM berbangga dan merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan pensyarahnya sebagai mufti baharu berkuat kuasa mulai 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

Kekosongan jawatan Mufti Wilayah Persekutuan selepas Dr Zulkifli dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sejak 9 Mac lalu.