KUALA LUMPUR – Satu prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pembukaan rumah ibadah bukan Islam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dimuktamadkan, Isnin ini.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, satu perbincangan dalam talian sudah diadakan membabitkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique bersama 12 ketua dan wakil badan agama bagi membincangkan hal pembukaan itu.

Katanya, ke semua wakil membincangkan cadangan SOP yang dibangunkan oleh KPN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan mengemukakan maklum balas serta cadangan senarai rumah ibadat terpilih dalam kawasan Zon Hijau kepada pihak KPN pada Isnin ini.

“Satu mesyuarat susulan juga akan diadakan pada 18 Mei 2020 bagi memuktamadkan SOP ini yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN.

“Seterusnya Menteri Perpaduan Negara akan membentangkan SOP untuk mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa. Pengumuman seterusnya akan dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),” katanya.

Antara ketua dan wakil agama yang hadir dalam perbincangan itu mewakili pelbagai agama seperti Buddha, Kristian, Hindu, Tao dan Sikh.

Antara badan agama yang menyertai perbincangan itu termasuk Christian Federation of Malaysia, Malaysia Gurdwara Council, Malaysian Buddhist Association; Young Buddhist Association of Malaysia; Federation of Taoist Association Malaysia dan Malaysia Christian Youth Association of Malaysia

Turut serta, Fo Guang Shan Malaysia, Singapore, Thailand and Indonesia; National Evangelical Christian Fellowship Malaysia; Malaysia Hindu Sanggam; Buddhist Missionaries Malaysia Society dan Council of Churches of Malaysia.