Kuala Selangor – Daerah ini kini menjadi daerah zon hijau kedua di Selangor selepas tiada lagi pertambahan kes aktif Covid-19 dikesan di kawasan itu sehingga 12 tengah hari semalam.

Jumaat lalu, daerah berkenaan merekodkan satu kes aktif, jumlah keseluruhan sebanyak 49 kes.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di laman sesawang Menteri Besar, amirudinshari.com, Kuala Selangor bebas Covid-19 selepas mukim Tanjong Karang bersih daripada kes aktif.

“Mukim Tanjong Karang sudah bersih dari kes aktif, ini menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah kedua yang berstatus zon hijau.

“Ingat dan berjaga-jaga, pertahankan kawasan anda dengan patuh penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan pakai pelitup muka.

“Selangor yang sihat bergantung kepada perlakuan anda. Jika anda sendiri cuai, anda akan tanggung akibat buruknya nanti,” katanya.

Sementara itu, daerah Petaling kekal sebagai zon merah tunggal di negeri itu dengan 48 kes aktif.

Selain itu, enam daerah yang masih berada pada zon kuning adalah Sabak Bernam dengan tiga kes aktif, Klang (11), Hulu Selangor (8); Hulu Langat (39); Gombak (12) dan Sepang (satu).

Sehingga semalam, Selangor merekodkan jumlah kes terkumpul sebanyak 1,628 dengan 122 kes aktif dan pertambahan hanya satu kes baharu.

Malah, negeri ini turut merekodkan sebanyak 1,441 kes sembuh dengan 21 kematian setakat semalam.