SEREMBAN – Umat Islam di negeri ini tidak dibenarkan menziarahi tanah perkuburan pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak mahu ada sebarang himpunan di tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Kalau boleh janganlah berkunjung ke tanah perkuburan pada Hari Raya ini, tunggulah lepas habis PKPB dan keadaan sudah pulih barulah pergi ke kubur.

“Tidak semestinya kita perlu ke kubur, cukup sekadar berdoa dalam sembahyang kepada insan-insan yang telah meninggal dunia. Berdoa sahaja sudah memadai, tidak wajib sehingga berkunjung ke kubur, cukup sekadar memberi doa dari rumah.

“Kalau ikut sunnah Rasulullah, baginda menziarah ke kubur selepas solat Isyak, kalau ada yang mahu pergi juga, datanglah lepas Isyak kerana itu adalah sebaiknya mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, bukan selepas solat Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sembang Santai FB Live Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di kediamannya yang dikendalikan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Nor Azman Mohammad di sini semalam.

Tambahnya, keadaan semasa tidak mengizinkan untuk orang ramai berkunjung secara beramai-ramai ke tanah perkuburan pada hari raya tahun ini, jadi patuhlah pada arahan yang ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Dalam pada itu, Aminuddin turut bersyukur kerana penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini semakin terkawal.

Katanya, kluster di Sendayan sudah pun berjaya dikawal, begitu juga kluster pasar tiada kes baharu, cuma kini perhatian perlu diberi kepada kluster di Pedas, Rembau pula agar tiada peningkatan kes.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, tiada kes baharu positif Covid-19 dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal sebanyak 776 kes.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 161 kes positif Covid-19 adalah merupakan dari kluster Pedas, 144 kes dari kluster Ijtimak Tabligh di Sri Petaling dan 111 kes dari kluster Sendayan.

Tiada kes kematian baru berkaitan Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Negeri Sembilan kekal lapan kes.