ALOR SETAR- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah Ke-14, pada jam 2 petang ini.

Pada jam 10 pagi ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan peletakan jawatan beliau sebelum diikuti pengumuman pelantikan Menteri Besar baharu.

Pengumuman terbabit akan dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim sebelum majlis angkat sumpah dilakukan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Ketika ini, kumpulan wartawan mula berkumpul di hadapan Wisma Darul Aman di sini, bagi liputan sidang media dan majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu.