KUALA LUMPUR – Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak COVID-19 di Malaysia, hari ini mendapat pengiktirafan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Ahli Parlimen serta Senator.

Penghargaan negara itu diberikan Seri Paduka, yang mengajak Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, semua Ahli Parlimen, Senator dan tetamu jemputan yang menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, bangun berdiri dan memberi tepukan gemuruh, simbolik penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan.

Dalam saat getir yang dihadapi ini, Seri Paduka bertitah petugas barisan hadapan negara terutamanya yang berada dalam perkhidmatan kesihatan, tentera, polis, bomba, imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi.