JOHOR BAHRU – Umat Islam di Johor dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan Aidilfitri ini, bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata umat Islam di negeri ini diminta patuh pada larangan berkenaan bagi memastikan rantaian wabak berkenaan dapat diputuskan.

“Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) memutuskan tidak membenarkan aktiviti menziarahi pusara pada Aidilfitri kali ini.

“Ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)yang masih berkuat kuasa sekali gus menjaga kemaslahatan umat Islam di negeri ini.

“Adalah digalakkan mengadakan tahlil ringkas di rumah masing-masing bagi memperingati ahli keluarga yang meninggalkan kita,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM tidak akan mengeluarkan dasar atau prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri ini.

“Tetapi, kali ini di luar kelaziman dan kita kena lihat cara bagaimana kita merayakan Aidilfitri kali ini dengan cara tiada kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur,” katanya.