KUALA LUMPUR – Tempoh pembayaran bantuan prihatin nasional (BPN) fasa kedua yang dijadualkan berakhir pada hujung minggu lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 22 Mei, 2020, disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini, seramai 7.61 juta penerima BPN fasa kedua telah menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion, mewakili pencapaian 93 peratus daripada peruntukan untuk fasa tersebut.

“Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telahpun bermula pada 15 Mei, 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta,” katanya semasa membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana, hari ini.

Susulan lanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei, 2020,” katanya. 

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan telah diterima manakala 3.9 juta permohonan diluluskan, peningkatan daripada 3.7 juta pada minggu sebelumnya dengan jumlah pembayaran melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

Sementara itu, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada 7.0 peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta.

Menurutnya, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20 peratus daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding 1.2 juta pencarum pada bulan April. 

Di bawah Subsidi Upah pula, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM2.24 bilion telah diluluskan bagi 267,752 majikan sehingga 17 Mei, mewakili dua juta pekerja. 

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata setakat 17 Mei, permohonan yang telah diluluskan oleh bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS.

Berkaitan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) beliau berkata permintaan terhadap dana itu sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

“Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion telah diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan yang telah diluluskan ini,” katanya.

Daripada jumlah yang dluluskan ini, beliau berkata sejumlah RM5.75 bilion telah disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.