BANGKOK – Kementerian Kebudayaan Thailand mengumumkan penerbit filem dan video dibenarkan meneruskan pengambaran dengan syarat tanpa adegan pertarungan dan romantis, dalam usaha membendung penularan COVID-19, lapor agensi berita Thailand (TNA)

Menurut kementerian, keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat dengan beberapa produksi filem pada Jumaat (17 Mei) itu, turut menetapkan kru pengambaran tidak boleh melebihi 50 orang dan tanpa kehadiran penonton.

Wakil setiausaha tetap kementerian Yupha Taveewattanakitborvon berkata semua kru filem perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan menggunakan aplikasi Thai Chana selain mengamalkan penjarakan sosial. 

Selain itu, bilik persalinan dan solek mesti dipisahkan selain perlu mempunyai sistem pengudaraan yang baik serta kru filem yang diimport adalah dilarang.

Pegawai kementerian akan menjalankan pemeriksaan secara rawak dan produksi filem yang gagal mematuhi semua peraturan akan diarah menghentikan pengambaran.