KOTA BHARU – ‘Tolong jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, dia pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.”

Demikian luahan Norazlina Abdul Rahim, 50, ibu kepada wanita hamil positif COVID-19 dari Kuala Krai ketika mengulas mengenai anaknya yang mendapat kecaman daripada netizen.

Anaknya yang berusia 32 tahun, adalah kes positif pertama dikesan di Kuala Krai selepas lebih sebulan Kelantan diisytiharkan bebas wabak itu. Wanita itu dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Norazlina berkata, anaknya mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijadualkan bersalin pada 19 Jun nanti.

“Anak saya pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah 35 minggu. Untuk bersalin di Ampang, Kuala Lumpur agak sukar kerana suaminya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga tahun.

“Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.

“Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga terpaksa nyahaktifkan akaun Facebook untuk sementara waktu.

“Namun kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anaknya sendiri agak sukar untuk menerima berita memaklumkan dia positif COVID-19 kerana sepanjang di Kuala Lumpur, anaknya tidak ke mana-mana melainkan keluar untuk membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.

“Namun saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini dia dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Malah, pagi ini saya sempat video call (panggilan video) dengannya dan setakat ini dia dalam keadaan baik.

“Namun, doktor memaklumkan mungkin perlu bersalin secara pembedahan memandangkan anak saya positif COVID-19,” katanya yang turut memberitahu mereka sekeluarga kini dikuarantin selama dua minggu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata wanita itu disahkan positif COVID-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.