COVID-19: Kes warga asing meningkat

PUTRAJAYA – Jumlah kes harian COVID-19 di negara ini meningkat berikutan pertambahan kes warga asing hingga melangkaui unjuran Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia dapat dilihat dengan ketara sejak 29 April lalu disebabkan penularan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara di beberapa Depoh Tahanan Imigresen dan pekerja asing pelbagai sektor dalam komuniti, selain kes import dari luar negara.

“Ini bermakna negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara.

“Namun, golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka yang secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan penularan COVID-19 di negara ini.

“Pergaulan dan percampuran rakyat Malaysia dengan golongan bukan warganegara sememangnya terhad, namun kehadiran mereka terutamanya pekerja bukan warganegara membantu memperkasa ekonomi di negara kita,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi menangani masalah berkenaan pelbagai pihak perlu bekerjasama supaya apa yang ingin dilakukan oleh kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ia tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Pekerja bukan warganegara terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan di semua zon merah wajib disaring untuk COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan.

“Selain itu, pekerja bukan warganegara dari zon kuning dan zon hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihak kedutaan bagi negara pekerja bukan warganegara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain diseru turut bekerjasama bagi memastikan kaedah komunikasi berkesan dan terbaik dapat digunakan bagi berkomunikasi dengan golongan bukan warganegara.

“Ini untuk menyampaikan situasi dan keadaan semasa berkaitan COVID-19 serta garis panduan perlu dipatuhi secara langsung kepada golongan bukan warganegara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, majikan pula bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja bukan warganegara masing-masing mengenai amalan kebersihan yang disarankan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Majikan juga harus memastikan tempat penginapan pekerja mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dipraktikkan; tidak sesak dan sempit, pekerja tidak sembang dengan jarak yang dekat; kebersihan tempat penginapan dijaga terutamanya ruang guna sama dan tempat yang kerap digunakan.

Justeru, pihaknya ingin menyeru kerjasama semua pihak bagi memastikan kes harian COVID-19 di Malaysia tidak terus meningkat sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia atau bukan warganegara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, bagi jumlah kes harian COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia pula, ia sejajar dengan unjuran kes oleh dalam permodelan oleh NIH.

Jumlah itu sememangnya menggambarkan impak positif tindakan yang sudah diambil oleh kerajaan serta pematuhan rakyat di negara ini terhadap SOP dan saranan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kementerian ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia di atas kerjasama dengan pihak kerajaan bagi pencapaian ini, dalam usaha kita untuk sama-sama membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Namun begitu, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes COVID-19 di kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s